Kuala Lumpur: Bursa Malaysia meningkat semula dengan ketara untuk ditutup tinggi pada Khamis sementara indeks penanda aras melonjak 4.47 peratus, dalam keadaan sentimen pasaran yang bertambah baik di seluruh rantau susulan pengumuman penangguhan sementara tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 62.54 mata kepada 1,463.13 daripada 1,400.59 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 63.71 mata lebih tinggi kepada 1,464.30 namun, turun serendah 1,453.13 selepas 15 minit dagangan.
Indeks itu kemudiannya meneruskan aliran naik kepada paras tertinggi 1,473.36 pada pertengahan pagi dan mengekalkan momentum positifnya sehingga dagangan ditutup.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 1,075 berbanding 183, manakala 261 kaunter tidak berubah, 847 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.41 bilion unit bernilai RM3.81 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.79 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan semula FBM KLCI adalah menyeluruh merentas semua komponen indeks, mencerminkan sentimen pelabur yang bertambah baik susulan kenaikan kukuh di Wall Street dalam tempoh semalaman.
“Pemangkin di sebalik keyakinan baharu itu adalah keputusan Presiden AS Donald Trump untuk menangguhkan sementara pelaksanaan tarif balas yang lebih tinggi, sekali gus melegakan pasaran global buat seketika.
“Bagaimanapun, tarif 10 peratus sedia ada kekal berkuat kuasa dan terus menimbulkan risiko negatif bagi kestabilan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, tumpuan pelabur akan beralih kepada data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dan tuntutan pengangguran mingguan yang akan dikeluarkan lewat malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd