saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan permintaan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk melantik enam jurulatih bagi memperkuatkan persiapan skuad olahraga negara bagi menghadapi beberapa kejohanan utama termasuk persiapan ke temasya Sukan Sea Thailand, Disember depan.
Persetujuan itu dicapai ketika pertemuan di antara Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dengan delegasi KOM yang diketuai presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim, di ibu pejabat MSN, hari ini.
Senarai enam jurulatih baharu yang terdiri daripada tiga kepakaran jurulatih luar negara dan tiga jurulatih tempatan itu dipilih oleh KOM untuk memperkasakan aspek kejurulatihan bagi semua disiplin, termasuk pecut, lontaran dan lompatan.
“Saya telah bertemu Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan dan kami telah bersetuju dengan pelantikan enam jurulatih berkenaan yang selari dengan pelan perancangan dikemukakan oleh KOM kepada MSN,” kata Jefri dalam satu kenyataan.
Butiran dan pengumuman senarai nama jurulatih-jurulatih itu akan dilakukan oleh pihak KOM kelak.
Menerusi laporan media semalam, Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard memberi bayangan barisan kejurulatihan skuad olahraga berpotensi dimantapkan dengan kehadiran jurulatih asing yang pernah melahirkan jaguh Olimpik.
Beliau berkata beberapa nama sudah disenaraikan bagi memperkuat skuad olahraga serta pembangunan atlet, namun segala keputusan terletak kepada MSN.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara terutama bagi disiplin pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung pada penghujung tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd