PENGENDALI skuad bola sepak Vietnam, Kim Sang-sik menyifatkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih pasukan ASEAN All-Stars menentang gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United FC (MUFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei depan sebagai satu penghormatan besar.
“Tugasan ini merupakan satu penghormatan untuk memimpin pemain terbaik dari seluruh ASEAN dalam perlawanan sebesar ini.
“Kita bukan sahaja mewakili negara masing-masing, malah sedang menunjukkan kepada dunia kebanggaan, semangat, dan kekuatan rantau kita,” kata Sang-sik.
Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) sebelum ini mengumumkan Sang-sik sebagai pengendali pasukan ASEAN All-Stars bagi aksi menentang MUFC dibawah kendalian Ruben Amorim.
Pemilihan Sang-sik membimbing skuad pilihan Asia Tenggara berdasarkan rekod cemerlangnya ketika membawa skuad Golden Dragons menjuarai Kejuaraan AFF 2024.
Sementara itu, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan pengendali dari Korea Selatan itu sebagai simbol kemajuan dan profesionalisme, selain memberi inspirasi kepada seluruh generasi pemain serta penyokong bola sepak di rantau ini.
“Perlawanan ini adalah detik kebanggaan bagi rantau kita dan peringatan bahawa bola sepak benar-benar dapat mengangkat kehidupan.
“Terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas sokongan dan kerjasama tidak berbelah bahagi selaku tuan rumah serta ahli gabungan AFF.
“Tidak dilupakan kepada Maybank atas tajaan jenama mereka. Sumbangan kolektif semua pihak amat penting dalam menghidupkan acara luar biasa ini,” katanya.