Barcelona: Kapten Borussia Dortmund, Emre Can, tidak dapat menahan kemarahan terhadap rakan sepasukannya selepas pasukannya dibelasah 0-4 oleh Barcelona dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) pagi tadi.
Can jelas kecewa selepas perlawanan dan berkata, kepada DAZN bahawa kekalahan berkenaan bukan disebabkan oleh taktik atau keputusan jurulatih, tetapi lebih kepada sikap pemain yang kurang bersemangat.
“Ia bukan soal sistem, tetapi lebih kepada adakah setiap orang sanggup memberikan 100 peratus dan membuat pengorbanan yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini,” kata Can.
“Terlalu banyak perkara yang tidak kena dalam perlawanan ini, kami tidak bermain dengan baik hari ini. Kami lemah. Kami tidak cukup padu. Dan di atas itu, kami membuat kesilapan mudah.”
“Pada tahap ini, kesilapan seperti itu dihukum dengan keras. Itulah sebabnya kami tewas di sini hari ini.”
“Kami bermain menentang pasukan Barcelona yang hebat, mereka jelas mempunyai beberapa pemain yang sangat baik, jadi satu-satunya cara untuk mengalahkan mereka adalah jika kami bermain sebagai satu pasukan, yang tidak kami lakukan,” kata Can.
“Saya rasa kami boleh bermain dengan lebih baik, walaupun mereka begitu bagus, saya tahu itu. Anda perlu berusaha keras, dan kami tidak berbuat demikian, jujurnya.”
“Sekarang kami perlu memberikan prestasi yang baik (pada perlawanan timbal balik) dan cuba menang. Kami berhutang dengan penyokong kami dan kami perlu memberikan segala-galanya.”
Barcelona yang mengejar akan datang ke perlawanan timbal balik pada Rabu dengan keyakinan penuh, berbanding Dortmund yang sedang bergelut dan kini berada di tempat kelapan Bundesliga mengumpul 41 mata, lima mata dari tempat kelayakan untuk UCL musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd