syafil.syazwan@hmetro.com.my
Nama Muaz Zabir masih hijau dalam industri seni lakon tanah air. Namun, pintu peluang buatnya terbuka luas dan semakin menyinar dalam cabang seni ini.
Membintangi drama bersiri Keluarga Itu, wataknya sebagai Anwari turut mencuri perhatian peminat setia drama karya Erma Fatima itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada barisan pelakon dalam drama Keluarga Itu.
“Menariknya, hampir semua pelakon dalam drama ini pernah saya tonton lakonan mereka ketika saya masih kecil.
“Sudah tentu, ada rasa bimbang sekiranya kehadiran saya mengganggu momentum mereka.
“Namun, orang selalu berkata bahawa apabila kita berlakon dengan gandingan hebat, kita akan mendapat aura yang sama,” katanya.
Menurut Muaz, 27, pengalaman berada di set dan dikelilingi nama-nama besar itu mematangkannya.
“Saya berasa sangat kerdil di set penggambaran, tetapi pengalaman ini banyak mengajar saya untuk menjadi lebih matang.
“Terima kasih kepada Kak Erma Fatima kerana memberi saya ruang dan peluang untuk belajar,” katanya.
Bagaimanapun, Muaz enggan mewujudkan rasa rimas dalam kalangan mereka dan selesa untuk memerhati dan belajar.
“Saya percaya bahawa jika terlalu banyak bertanya, orang mungkin akan berasa rimas.
“Jadi, saya lebih memilih untuk menonton lakonan saya sendiri terlebih dahulu, memerhati cara mereka berlakon, dan mengasah kemahiran saya secara semula jadi.
“Bukan untuk meniru, tetapi seperti yang dinasihatkan oleh Kak Ellie Suriaty selaku guru saya, apa sahaja watak yang kita bawakan, kita perlu faham dan menghayatinya agar dapat melontarkan dialog dengan tepat,” katanya.
Pada masa sama, sebagai peluang baharu untuknya, Muaz juga bersyukur kerana wataknya tidaklah terlalu berat.
“Watak saya dalam drama ini lebih kepada seseorang yang bodoh sombong. Anwari, watak yang saya bawakan, cemburu dengan kejayaan abangnya. Dia berasa tersisih apabila abangnya berjaya dalam hidup.
“Alhamdulillah, saya tidak diberikan watak yang terlalu berat kerana tanggungjawab ini besar. Saya belajar sedikit demi sedikit.
“Watak ini lebih kepada seseorang yang tidak mahu terbabit dengan keluarganya dan cuba membuktikan bahawa dirinya masih berguna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd