Karier baharu pada usia emas

Karier baharu pada usia emas

nurul_husna@hmetro.com.my

MEMULAKAN karier baharu pada usia ’emas’ bagi sesetengah orang disifatkan kerja ‘gila’ kerana ketika usia itu sewajarnya individu mengambil tempoh bertenang atau bersantai bersama anak cucu.

Berlainan dengan pemikiran Paredah Laila Saad, 60, apabila memilih menceburi dunia tata hias landskap ketika usianya mencecah 55 tahun.

Kata ibu kepada tujuh cahaya mata dan memiliki 11 orang cucu itu, karier terbarunya itu adalah minat atau hobi yang sudah lama diceburi.

“Saya buat satu keputusan besar iaitu ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020 kira-kira penghujung tahun untuk hantar permohonan persaraan awal.

“Keputusan dibuat kerana hobi saya bercucuk tanam sebagai masa lapang mula menjana pendapatan.

“Saya mula dengan memesan tanah baja untuk diri kemudian jiran tetangga dan kenalan sehinggalah kepada pokok serta anak benih pokok.

“Hobi saya mula memperlihatkan peluang untuk jana pendapatan dan saya mula seronok dengan rutin baru terbabit,” katanya.

Walaupun terpaksa meninggalkan karier 26 tahun sebagai pendidik, dia tidak ‘ralat’ sebaliknya teruja meneroka dunia baru.

“Ramai juga bertanya kenapa perlu bersara, sedangkan saya boleh menjadikan ia sebagai kerjaya sambilan.

“Saya melihat komitmen iaitu permintaan dan peluang kembangkan potensi diri lebih penting daripada terus terikat dengan kerjaya sebagai guru.

“Keputusan itu diambil juga dengan sokongan suami yang sudah bersara ketika itu. Tetapi dia memiliki kepakaran dalam bidang landskap memulakan perniagaan dalam bidang landskap,” katanya.

Paredah Laila percaya dengan kemahiran dan pengalaman dalam bidang pengurusan disokong pula kepakaran suami boleh merealisasikan impian dia dan suami itu mahu memiliki legasi perniagaan sendiri.

“Selain mahu berkongsi mengenai ilmu landskap dengan orang luar, satu impian saya dan suami mahu ada legasi perniagaan boleh diwarisi kepada anak.

“Saya rasa perniagaan perkhidmatan landskap dan menjual bahan pertanian antara relevan dengan kemahiran serta kepakaran kami.

“Anak juga kerap membantu selain kami sentiasa terbuka bekerja dengan bakat muda dalam bidang teknologi termasuklah media sosial untuk lebih berkembang,” katanya.

Menyentuh pengalamannya yang bekerja bersama pasangan dan menjadi rakan kongsi kepada suami, akui wanita itu, persekitaran kerja itu lebih positif.

“Memang ada perkara kami tidak sehaluan, tetapi kami belajar untuk tangani konflik atau percanggahan pendapat secara profesional.

“Selain saya dan suami, kami masih ada pekerja lain termasuklah pereka landskap yang bekerja sekali.

“Kami akan berbincang untuk dapatkan keputusan yang lebih baik. Saya juga bersikap terbuka dan sedia mendengar jika ada permasalahan berbangkit dalam urusan bekerja,” katanya.

Dalam kebanyakan masa Paredah Laila berkata, dia dan suami tidak menghadapi masalah bekerja sebagai satu pasukan.

Malah bekerja dengan pasangan, dia lebih arif dengan tabiat dan sifat suami memudahkan dia mengendali sebarang isu berkaitan syarikat.

“Saya rasa selain hubungan suami dan isteri, hubungan kami menjadi lebih baik dan rapat apabila bekerjasama.

“Kami saling menyokong dan apabila timbul satu masalah kami boleh selesaikan dengan pantas serta baik kerana sudah memahami antara satu sama lain.

“Malah kami juga tahu untuk saling menyokong antara satu sama lain tanpa perlu menekan dan membuatkan salah seorang tidak selesa,” katanya.

Selepas lima tahun terbabit, selain mengendalikan projek dan berunding dengan klien, Paredah Laila turut mengadakan program bersama komuniti untuk tingkatkan pengetahuan dan kesedaran kepentingan terhadap alam semula jadi.

“Satu sumbangan penting saya rasa dalam peranan menjadi perunding landskap ialah berkongsi ilmu.

“Mungkin jiwa pendidik sangat menebal membuatkan saya tetap mahu berkongsi kemahiran bercucuk tanam atau menghias laman dengan komuniti.

“Dalam satu program kami adakan, salah seorangnya mengakui aktiviti kami lakukan membantu dia memiliki penghidupan baru selepas menderita dengan masalah kemurungan.

“Dia rasa satu terapi apabila mengikuti program kami, belajar menanam pokok dan pokoknya hidup membuatkan dia lebih positif.

“Malah individu itu kini bebas daripada penyakit dan sering berkongsi aktiviti menanam pokok bersama kami,” katanya.

Dia menyifatkan perkongsian sebegini membuatkan dia berasa gembira dengan tugas atau kerjaya baru itu.

Malah dia langsung tidak berasa tertekan menceburi perniagaan itu pada usia yang lewat.

“Pada fikiran saya, memilih menceburi bidang baru pada usia lewat bukanlah satu tekanan.

“Usia hanyalah angka. Tidak mustahil mana-mana wanita untuk menerokai bidang kemahiran baru selagi mereka ada kemahuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top