Pasukan EPL raih slot kelima Liga Juara-Juara

Pasukan EPL raih slot kelima Liga Juara-Juara

London: Kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Real Madrid menyaksikan sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, seperti yang disahkan oleh liga terkemuka Inggeris itu.

Empat pasukan teratas dalam EPL secara automatik layak ke kejohanan kelab terbaik Eropah itu. Namun, disebabkan kejayaan kelab Inggeris dalam tiga kejohanan Eropah, England kini dijamin tempat dua teratas dalam ranking kelab UEFA, yang membolehkan mereka memperoleh ‘European Performance Spot’.

England kini mendahului, diikuti oleh Sepanyol dan Itali.

Lima pasukan Inggeris kini terlibat dalam suku akhir pelbagai kejohanan Eropah membabitkan Arsenal dan Aston Villa dalam Liga Juara-Juara, Manchester United dan Tottenham Hotspur (Liga Europa), serta Chelsea dalam Liga Persidangan.

EPL berpotensi memiliki sehingga tujuh kelab dalam Liga Juara-Juara musim depan iaitu lima pasukan teratas liga, ditambah dengan pemenang Liga Juara-Juara dan Liga Europa sekiranya mereka tidak menamatkan saingan di lima tempat teratas.

Liverpool hampir pasti menjuarai Liga Perdana Inggeris, manakala Arsenal yang berada di tempat kedua pula berada dalam kedudukan yang baik. Namun, perebutan bagi baki tempat Liga Juara-Juara semakin sengit, dengan hanya enam mata memisahkan Nottingham Forest di tempat ketiga dan Villa di tempat ketujuh.

Arsenal mengejutkan juara Eropah 15 kali, Real Madrid, dengan kemenangan 3-0 pada Selasa dalam perlawanan pertama suku akhir mereka, manakala Aston Villa dijadualkan bertemu Paris Saint-Germain pada Rabu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top