am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Musibah yang berlaku di Putra Heights pada Syawal ke-2, minggu lalu benar-benar menguji tiga beranak ini yang masih dihantui rasa tidak tenteram dan bimbangkan masa depan.
Zainal Abiddin Aribbin, 55, berkata, meskipun rumah sewa didudukinya bersama keluarga di Kampung Kuala Sungai Baru tidak rosak seteruk kediaman lain, perasaan bimbang tetap ada.
Ketika ini katanya, dia buntu memikirkan perancangan jangka panjang buat keluarga, termasuk sama ada mahu terus kekal menetap di kawasan itu atau sebaliknya.
“Saya sendiri tak tahu perancangan akan datang macam mana. Nak duduk sini sampai bila pun saya tak pasti.
“Kalau tiba-tiba kena pindah, saya dan keluarga nak duduk mana? Itu yang saya fikirkan sekarang,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Menurutnya, dia bersyukur menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM2,500 dan RM500 lagi daripada Parlimen Puchong yang membantu meringankan bebannya.
“Saya bersimpati dengan nasib mangsa lain yang lebih (teruk) terjejas. Saya tengok ramai yang kehilangan tempat tinggal.
“Ada yang rumah hangus, ada juga yang terikat komitmen pinjaman sedia ada, macam mana mereka nak teruskan hidup?
“Memang bantuan kewangan ini perlu, tapi kami pun masih menanti apa langkah seterusnya daripada pihak berwajib,” katanya.
Zainal Abiddin berharap semua mangsa yang terkesan akan terus dibantu dan tidak dilupakan selepas fasa kecemasan itu berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd