Kuala Lumpur: Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa hasil analisis terhadap satu ketulan dadah jenis kanabis mendapati berat bersih dadah itu ialah 300.1 gram.
Harlisa Haidhir Harminder, 43, daripada Jabatan Kimia Malaysia berkata beliau telah menerima satu sampul surat bertanda “MZ” yang bermeterai “POLIS DIRAJA MALAYSIA 756” pada 10 September 2024 daripada Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir dan di dalamnya terdapat satu beg keselamatan “SAMPUL BARANG KES” bertanda “MZ1” mengandungi satu ketulan mampat bahan tumbuhan, yang sebahagiannya dibalut dengan kertas kuning keemasan.
“Setelah dianalisis, saya dapati jumlah berat bersih bahan tumbuhan tersebut ialah 300.1 gram.
“Saya berpuas hati dengan ujian yang saya jalankan dan mencapai keputusan yang konklusif bahawa bahan tumbuhan tersebut adalah kanabis.
“Ketulan mampat bahan tumbuhan itu telah dileraikan semasa dianalisis.
“Selepas dianalisis, bahan tumbuhan tersebut dimasukkan ke dalam paket plastik berasingan yang dibekalkan oleh saya dan ditandakan dengan “MZ” serta nombor makmal sebelum paket plastik bersama barang kes dimasukkan semula ke dalam sampul surat asal bertanda “MZ” dan dimeterai dengan label keselamatan “JABATAN KIMIA MALAYSIA”,” katanya yang bertugas di Bahagian Narkotik, Pusat Analisa Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia.
Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes pengedaran dadah dan pemilikan senjata tiruan yang dihadapi bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther.
Harlisa berkata semasa ekshibit (barang kes) itu berada di dalam simpannya, ekshibit tersebut disimpan di dalam kabinet besi berkunci kepunyaan beliau di dalam bilik kebal dan sepanjang masa analisis ekshibit itu dilakukan, ia berada di dalam kawalan dan pemerhatiannya.
“Tiada kemungkinan untuk ekshibit ini bercampur aduk dengan barang-barang kes lain kerana telah ditandakan dengan nombor makmal. Pada 29 Okt 2024 jam 2 petang, saya telah menyerahkan semula ekshibit itu bersama laporan kepada Insp Muhammad Zuhairi di Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
Terdahulu, Sarjan Mohd Hafieh Md Sharif yang bertugas di Bahagian Pensenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua senjata api iaitu dua pucuk pistol yang diperiksanya bukan senjata api sebenar, namun ia berat berbanding pistol mainan.
“Kalau kita tengok sekali, kedua-dua pistol itu nampak macam pistol sebenar tetapi ia berbeza dengan pistol mainan yang diperbuat daripada plastik dan ringan,” katanya dan menambah pistol tiruan kini banyak dijual secara dalam talian.
Sementara itu, kereta jenis Nissan Teana berwarna biru gelap yang dirampas oleh pihak polis semasa tertuduh (Muhammed Yusoff) ditahan, akan dibawa ke pekarangan mahkamah esok untuk diperiksa di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, barisan peguam dan timbalan pendakwa raya.
Pada prosiding semalam, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37, yang bertugas di Bahagian Risikan IPKKL memberitahu mahkamah bahawa polis menahan seorang lelaki mencurigakan berhampiran sebuah kondominium, sebelum menemukan sebuah beg hitam berisi dua pistol tiruan dan dadah yang dibalut plastik hitam dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Teana.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd