Koperal parah akibat senjata sendiri di IPK Pulau Pinang

Koperal parah akibat senjata sendiri di IPK Pulau Pinang

am@hmetro.com.my

Georgetown: Anggota polis cedera dipercayai akibat letupan senjata sendiri dalam kejadian di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu, koperal lelaki berusia 58 tahun berkenaan cedera di bahagian kepala.

Mangsa dikatakan bertugas sebagai penyelia Kem Komandan berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 4 petang hari ini, namun dilapor tidak pulang ke rumah selepas selesai tugas.

Difahamkan, satu das peluru itu turut menembusi cermin pejabat pos berkenaan.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian.

Beliau memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian.

“(Kejadian) ada, masih dalam siasatan awal dan dalam proses (beri kenyataan),” jawabnya ringkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top