najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tampil bersuara mengenai laporan berhubung penipuan perkhidmatan umrah yang membabitkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarga secara tidak sah dan tidak bermoral sebagai bahan promosi.
Na’im dalam satu perkongsian di Facebook hari ini berkata, beliau merakamkan rasa simpati dan solidariti kepada semua individu yang menjadi mangsa penipuan itu.
“Menipu dalam urusan ibadah adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, terhadap amanah umat Islam dan terhadap nilai kemanusiaan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama saya ingin menyampaikan peringatan, nasihat serta amaran keras kepada semua pihak.
“‘Mohon semak sebelum bayar. Pastikan agensi umrah berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Rujuk laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pengesahan.
“Selain itu, jangan tertipu dengan media sosial. Jangan mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih. Sentiasa periksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Menurut Na’im, penipuan yang dilakukan atas nama agama adalah satu jenayah berat dan dilarang Allah SWT.
“Menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi.
“Saya juga menyeru kepada semua pengendali perkhidmatan umrah agar sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan. Keberkatan rezeki hanya hadir dari jalan yang halal dan bersih,” katanya.
Dalam masa sama, Na’im menggesa semua pihak yang menjadi mangsa penipuan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Mangsa atau saksi penipuan hendaklah segera membuat laporan kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Jangan biarkan penipu terus bebas menipu orang lain.
“Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT memelihara kita daripada fitnah manusia yang zalim, dan semoga semua mangsa diberikan pembelaan serta keadilan yang sewajarnya,” katanya.
Ahad lalu, Neelofa meminta seorang lelaki berhenti menjalankan kegiatan penipuan perkhidmatan umrah dengan menggunakan wajah ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohammed dan adik, Ameera Khan secara berlebihan.
Neelofa berkata, dia juga ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu terbabit selepas ibunya memaklumkan menerima pelbagai mesej yang sudah menjadi mangsa penipuan di akaun media sosial miliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd