KUALA TERENGGANU: Tradisi Hari Raya Aidilfitri yang penuh adab dan nilai kekeluargaan dilihat semakin tercemar apabila trend menari demi menerima duit raya menjadi ikutan segelintir masyarakat, terutamanya di media sosial.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena itu yang dianggap sebagai satu bentuk pencemaran budaya yang boleh menghakis nilai murni sambutan Aidilfitri.
“Budaya kita ialah bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta terima kasih sempena menyambut Aidilfitri. Ia tidak perlu dicacatkan dengan perbuatan berjoget sehingga melampaui batas agama.
“Perkara seperti ini dikesali dan mungkin suatu masa akan kehilangan nilai-nilai murni budaya kita sendiri jika trend seperti ini berterusan. Trend berjoget untuk menerima duit raya itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita.
“Jika dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat sudah tentu boleh menjadi haram,” katanya memetik laporan Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai trend menari yang dilihat menyerupai amalan dalam agama lain.
Mohamad Sabri berkata, perbuatan tersebut adalah haram kerana ia melibatkan peniruan terhadap ritual atau unsur-unsur keagamaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Bagaimanapun, jika tidak ada kena mengena dengan agama lain tetapi mengundang fitnah sehingga menjadi satu trend yang dianggap tidak manis dan tidak bermoral apatah lagi tidak pernah berlaku dalam tradisi budaya kita, maka sewajarnya perbuatan sedemikian dielakkan.
“Ini bagi memastikan perkara seperti ini tidak berterusan pada masa akan datang sehingga menjadi aib atau tidak manis dalam masyarakat bahkan mungkin (perbuatan itu) akan berlebihan sehingga menonjolkan bentuk tubuh,” katanya.
Sebelum ini, tular video di media sosial berdurasi 22 saat mendakwa tarian itu diambil dari tarian tradisional Yahudi susulan pergerakannya kelihatan serupa dengan trend terima duit yang viral ketika ini. – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!