Laporan awal Letupan paip gas Putra Heights dijangka dalam tempoh dua minggu – Polis

Laporan awal Letupan paip gas Putra Heights  dijangka dalam tempoh dua minggu – Polis

Kuala Lumpur: Laporan awal siasatan teknikal punca kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas, dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, impak letupan besar menyebabkan struktur atau landskap asal kawasan tersebut telah berubah, menjadikan kawasan berkenaan tidak stabil dan berikutan itu laporan penuh hanya dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dua minggu selepas itu.

“Untuk tempoh dua tiga hari ini, kerja-kerja untuk menstabilkan kawasan itu dilakukan dan apabila sudah stabil baru kita (pasukan teknikal) boleh korek dan dapatkan keterangan-keterangan dari segi saluran, (jika) ada bahan letupan dan lain-lain keterangan fizikal yang boleh digunakan oleh pihak siasatan teknikal ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Pusat Kawalan Tempat Kejadian, di sini petang ini.

Hussein berkata, bagi siasatan pasukan teknikal itu, punca kuasa yang digunakan ialah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) dan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1.

Beliau berkata kejadian letupan berkenaan melibatkan satu daripada tiga saluran gas asli di situ, menghasilkan satu kawah besar yang mempunyai kedalaman lebih kurang lapan meter dan lebar 70 meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top