Tokyo: Seorang penuntut universiti di Jepun tular kerana menjadi satu-satunya daripada 35 bekas murid yang menunaikan janji untuk datang semula ke sekolah rendah, untuk menggali kapsul masa ditanam lapan tahun lalu.
Kisah itu dikongsikan menerusi satu hantaran di media sosial hingga meraih perhatian netizen.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pemuda yang menggunakan @tungsten_W di platform media sosial, kini penuntut tahun kedua di Universiti Tokyo.
Pada 22 Mac lalu, dia kembali ke sekolah rendahnya untuk menunaikan janji yang dibuatnya dengan 34 rakan sekelasnya dan guru pembimbing, lapan tahun lalu.
Ketika itu, mereka menanam kapsul masa yang mengandungi surat di sebelah taman permainan sekolah, dan bersetuju untuk bertemu semula di sekolah itu pada 5.30 petang, 22 Mac 2025.
Pemuda itu tiba tepat di pintu pagar sekolah dan menunggu, namun ternyata hanya dia seorang sahaja yang hadir.
Dia berkongsi pengalaman itu di media sosial dan hantarannya meraih 32 juta tontonan, 270,000 tanda suka dan 13,000 perkongsian.
Ramai yang tersentuh dengan kesetiaannya dan menggelarkan pemuda itu sebagai pemegang janji terakhir di dunia
Pemuda itu meluahkan kekecewaannya kerana tiada siapa yang mengingati janji mereka termasuk gurunya.
“Ada yang mendakwa ia adalah perkara biasa bagi orang ramai untuk melupakan apa yang berlaku ketika sekolah rendah apabila mereka melangkah ke sekolah menengah dan universiti.
“Saya rasa cara hidup itu agak menyedihkan,” katanya.
Pemuda itu berkata, dia bukan mahu menjadi selebriti dalam talian tetapi berharap mesejnya sampai kepada 34 bekas rakan sekelasnya.
Hanya dua hari selepas berkongsi hantarannya, pemuda itu dapat berhubung dengan dua bekas rakan sekelas.
© New Straits Times Press (M) Bhd