
Pemain Harimau Malaya ketika menjalani sesi latihan sebelum berdepan Nepal dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 25 Mac lalu. GAMBAR KECIL: JAMAL NASIR
PENGURUSAN skuad bola sepak negara diharap berjaya mendapatkan penyerang warisan sebelum mengharungi aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang lawan lebih kuat iaitu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun nanti.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, tenaga baharu amat diperlukan di jentera serangan pasukan kebangsaan selepas ketumpulan ketara ditunjukkan ketika hanya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal baru-baru ini.
Menurutnya, kemenangan yang dilakar itu dilihat kurang memberangsangkan dan Jamal Nasir percaya pasukan negara seharusnya menang dengan jaringan lebih selesa jika tidak kerana ketumpulan bahagian serangan.
“Masalah di jentera serangan ini bukan perkara baharu dan berdepan Vietnam yang lebih kuat, kita tidak boleh tumpul di depan gol kerana kita memburu kemenangan di laman sendiri.
“Kita tidak tahu status ketika ini sama ada Bergson da Silva sudah melepasi syarat untuk beraksi atau tidak. Jika dia sudah boleh beraksi menentang Vietnam, ia akan menjadi sesuatu yang bagus.
“Jika tidak, saya mengharapkan ada pemain warisan yang beraksi di bahagian serangan boleh dibawa masuk oleh pengurusan Harimau Malaya untuk berdepan Vietnam nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan tujuh pemain warisan lagi bakal memperkuatkan pasukan negara dalam menghadapi saingan kelayakan Piala Asia itu.
Sebelum aksi menentang Nepal, Malaysia telah menerima dua pemain warisan yang beraksi di posisi tengah iaitu Hector Hevel dan pemain pertahanan Gabriel Palmero.
Hevel beraksi cemerlang dalam penampilan pertama bersama Harimau Malaya apabila meledak satu gol manakal Palmero direhatkan untuk aksi berkenaan.
Jamal Nasir berkata, bahagian pertahanan dan tengah skuad negara dilihat berada pada tahap memuaskan dan jika jentera serangan dapat ditambah baik, ia akan memberikan satu persembahan lebih positif dan garang.
“Saya rasa pertahanan dan tengah agak solid, tetapi penyerang tak ada. Saya harap perkara ini akan diambil kira oleh barisan kejurulatihan negara untuk diperbaiki.
“Berdepan Vietnam dan bermain di laman sendiri, kita perlu menang. Mereka (Vietnam) adalah cabaran utama kita untuk layak ke Piala Asia,” katanya.