Johan Jalin Kolaborasi Bersama Fazley Yaakob, Dapat Idea Kerjasama Di Tepi Padang Bola

Johan Jalin Kolaborasi Bersama Fazley Yaakob, Dapat Idea Kerjasama Di Tepi Padang Bola

Penyampai radio, Johan menjalin kolaborasi istimewa bersama penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob.

Menerusi jenama restoran Itik Ke Ayam? (IKA?) yang diusahakan oleh Johan, pelawak ini melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan produk Ready-To-Eat (RTE) melalui mesin layan diri (vending machine) dan menjalin kerjasama dengan pemenang MasterChef Selebriti Malaysia itu.

Dengan kepakaran Fazley dalam dunia kulinari dan kreativiti Johan dalam membina jenama, mereka berdua bertekad membawa pengalaman menikmati makanan sedia dimakan ke tahap lebih premium.

Menu sulung yang diperkenalkan dalam vending machine ini ialah Itik Salai Masak Lemak Cili Api dan Ayam Salai Masak Lemak Cili Api.

Kedua-duanya menggunakan resipi istimewa dan kini dipersembahkan dalam bentuk RTE berkualiti tinggi.

“Saya mahu pelanggan menikmati hidangan berkualiti restoran dalam masa yang lebih pantas dan mudah. Itu sebabnya saya pilih Fazley untuk bekerjasama kerana saya tahu sentuhannya mampu membawa kelainan.

@xtra_my Wah, kat tepi padang bola pun boleh dapat idea eh nak jalin kerjasama. Semoga kolaborasi antara Johan & Datuk Fazley Yaakob sukses terus! #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA

“Bagi saya, makanan bukan sekadar hidangan, tetapi satu pengalaman. Dengan teknologi vending machine ini, kita boleh bawa rasa masakan autentik ke mana-mana,” kata Johan.

Sementara itu, Fazley mendedahkan mereka telah merancang lebih setahun dan akhirnya terhasil kolaborasi IKA? x Datuk Fazley Yaakob.

“Kami merancang lebih setahun, tetapi kami berbincang secara serius dalam tempoh tiga hingga ke enam bulan. Sebenarnya, idea kerjasama datang ketika kami berada di tepi padang bola. Anak saya dan anak Johan bermain bola bersama.

“Kami yang menanti di tepi padang banyak berbincang pelbagai topik dan akhirnya timbul idea kerjasama ini,” kata Fazley.

Boleh didapati di empat lokasi utama iaitu AEON BIG Seksyen 23, Shah Alam, AEON BIG Ampang, AEON BIG Wangsa Maju dan AEON BIG Tun Hussein Onn, Johan memilih menu yang tidak tersedia di restoran IKA untuk dijyal di ‘vending machine’.

Tambah Fazley, mereka optimis inovasi ini akan mengubah cara masyarakat menikmati makanan segera.

“Masakan tradisional seperti ini perlu dikekalkan tetapi dengan cara yang lebih moden. Saya pastikan setiap hidangan masih mengekalkan rasa asli walaupun dalam bentuk ready-to-eat.

“Biasanya bila sebut vending machine, orang bayangkan minuman tin atau snek. Tapi kali ini, kami mahu menghidangkan sesuatu yang lebih mengenyangkan dan berkualiti, dengan hanya satu sentuhan butang,” kata Fazley.

Sasar 100 Mesin Layan Diri Dalam Setahun

Projek vending machine ini hanyalah permulaan. Johan dan pasukannya menyasarkan untuk memiliki 100 mesin di lokasi strategik seperti AEON, Lotus’s, serta pasar raya utama di seluruh Malaysia dalam masa setahun.

Selain itu, peluang juga bakal dibuka kepada usahawan dan penggiat seni yang berminat menyertai industri vending machine ini sebagai satu bentuk perniagaan baharu.

Scroll to Top