Kota Bharu: Kemunculan seorang petinju muay thai daripada komuniti Cina Peranakan mencuri tumpuan bukan hanya kerana gerakannya di atas gelanggang, malah, keberaniannya menjadikan seni bela diri itu, yang jarang diceburi oleh masyarakatnya, sebagai jalan hidup.
Berasal dari Kelantan, Cheot Yao Zong, 34, mula tertarik kepada sukan yang sinonim dengan negara jiran itu pada usia 25 tahun selepas terpukau menyaksikan kelincahan bintang aksi terkenal Thailand, Tony Jaa, dalam filem Ong Bak.
Beliau berkata, teknik yang dipamerkan dalam filem blockbuster itu telah membakar semangatnya untuk mencuba sendiri sukan yang penuh disiplin itu.
“Saya kagum bagaimana muay thai bukan sekadar pertarungan fizikal, tetapi satu seni yang menuntut kecekapan, ketahanan dan strategi.
“Dari situlah saya melangkah ke Kelab Muay Thai Gajah Putih di Kota Bharu untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sebelum menceburi dunia muay thai, Cheot sebenarnya sudah tidak asing dalam seni bela diri dan pernah mewakili Kelantan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 bagi acara wushu.
“Sukma hanya untuk mereka di bawah usia 21 tahun, jadi saya perlu mencari hala tuju baharu. Muay thai menjadi pilihan kerana saya mahukan cabaran yang lebih besar,” katanya.
Bagaimanapun, Cheot mengakui, menjadi seorang peninju muay thai daripada komuniti Cina Peranakan di Kelantan bukan perkara mudah, malah pada mulanya, beliau berasa sedikit terasing.
“Memang agak janggal pada awalnya kerana tidak ramai dari komuniti saya yang terlibat dalam sukan ini.
“Namun, semakin lama saya bertarung, saya sedar muay thai sebenarnya mampu merapatkan jurang budaya. Saya diterima baik oleh rakan Melayu dan lain-lain,” katanya.
Sepanjang 10 tahun bergelar peninju, Cheot menyertai pelbagai kejohanan amatur dan memenangi beberapa pertarungan penting.
Di peringkat profesional, beliau telah bertarung dalam tiga kejohanan dan mengakui saingan semakin sengit terutama dalam kategori 70 kilogram.
“Peninju muda kini lebih agresif dan bertenaga. Namun, saya tetap berjuang selagi mampu.
“Lagipun, dengan persediaan rapi, risiko kecederaan dapat diminimumkan,” katanya.
Di sebalik ketekunan Cheot, terdapat sokongan padu daripada ibu bapa dan isterinya yang sentiasa memberi dorongan untuk beliau terus melangkah dalam dunia muay thai.
“Apa yang membuatkan saya terus bertahan bukan hanya kemenangan, tetapi bagaimana sukan ini membentuk saya menjadi lebih disiplin dan bersemangat.
“Lebih bermakna, saya dapat bergaul dengan ramai orang dari latar belakang berbeza, berkongsi ilmu dan pengalaman bersama mereka,” katanya.
Cheot menyifatkan muay thai sebagai lebih daripada sekadar sukan.
Baginya, ia adalah cara hidup dan beliau berharap dapat melihat lebih ramai anak muda menceburi sukan itu.
“Ia bukan hanya tentang bertarung tetapi membina diri. Jika ada minat, teruskan. Jangan takut untuk melangkah,” katanya dengan penuh harapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd