Tentera Maut Akibat Hentakan Kuat Di Dada, Dua Anggota Batalion Ke-20 RAMD Ditahan | Oh! Media

Tentera Maut Akibat Hentakan Kuat Di Dada, Dua Anggota Batalion Ke-20 RAMD Ditahan | Oh! Media

Insiden tragis yang berlaku di Kem Sri Miri, Sarawak kini menjadi perhatian seluruh negara apabila Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan kematian salah seorang anggotanya, Prebet Muhammad Muqriz bin Aseri yang baru berusia 21 tahun dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD).

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada 26 Mac 2025, TDM memaklumkan bahawa laporan awal bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat trauma tumpul pada dada atau Blunt Trauma To The Chest (Contusio Cordis).

Kecederaan tersebut dipercayai akibat hentakan kuat yang menyebabkan kerosakan pada jantung Allahyarham.

Unsur kasar dikenal pasti dalam siasatan awal

Paling mengejutkan, siasatan awal yang dilakukan oleh pasukan TDM sendiri menemui kemungkinan unsur ‘manhandling’ atau layanan kasar yang mungkin menjadi penyebab utama kematian Prebet Muqriz.

TDM kini telah menyerahkan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lebih lanjut dan dalam masa sama menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti semua faktor yang menyumbang kepada insiden ini.

tdm

Allahyarham selamat dikebumikan pada malam 25 Mac 2025 di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor sekitar jam 11.55 malam.

Panglima tentera darat beri jaminan siasatan telus

Dalam kenyataan tersebut, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan memandang serius terhadap insiden ini dan berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan adil serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terbabit dan didapati bersalah dalam insiden ini.

Setakat ini, dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) telah ditahan reman selama 7 hari untuk membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, kedua-dua prebet yang ditahan di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang itu berusia 22 dan 24 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Terdahulu, BH Online melaporkan kejadian berlaku sekitar jam 2.15 pagi Isnin lalu ketika mangsa sedang tidur di berek bujang.

Beliau telah dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur namun sebelum sempat menjamah makanan, mangsa diarahkan melakukan beberapa bentuk senaman fizikal.

Mangsa dipaksa melakukan ‘commando rest’ iaitu kepala mencecah lantai dengan tangan di belakang selama dua minit, diikuti 20 kali tekan tubi.

Tidak lama selepas itu, Muhammad Muqriz dilaporkan pitam dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 pagi.


Scroll to Top