Terima ‘rumah raya’ empat hari sebelum Syawal

Terima ‘rumah raya’ empat hari sebelum Syawal

ALOR GAJAH: Impian pasangan suami isteri untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai selepas menerima rumah Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang terletak di Kampung Brisu di sini, hari ini.

 

Lebih manis rumah berharga RM79,000 itu diserahkan kepada Muhammad Khairul Amir Abdul Mutalib dan Kasmah Abdul Malik masing-masing berusia 34 tahun, empat hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Menurut Kasmah, dia memasang impian untuk memiliki rumah sendiri sejak lima tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan selepas suaminya disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada 2022.

 

“Sebelum ini kami menyewa di Taman Kebaya, Paya Datok dan selepas itu kami berpindah ke rumah abang selepas suami disahkan sakit buah pinggang. Apabila abang mahu pindah masuk ke rumahnya, saya terpaksa menumpang di rumah mentua yang terletak di taman sama.

 

“Suami sudah tidak bekerja sejak tiga tahun lalu dan kini saya seorang saja yang mencari rezeki. Keadaan ini menyukarkan saya untuk membeli rumah kerana kedudukan kewangan tidak kukuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

 

Tambah Kasmah, kos membeli ubat-ubatan suaminya yang tidak menentu menyukarkan dia mencari rumah sewa lain.

 

Menurutnya, dia nekad memohon rumah PPRS pada 2023 untuk dibina di atas tanah milik keluarga.

 

“Saya tidak sangka dalam tempoh setahun setengah permohonan untuk memiliki sebuah rumah PPRS diluluskan. Kerja pembinaan bermula Januari dan siap sebulan lebih awal. Saya bersyukur teratak baharu ini akan menjadi tempat kami berteduh. Kami menganggap ini sebagai hadiah terindah pada Syawal kali ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

KASMAH Abdul Malik (kanan) dan Muhammad Khairul Amir Abdul Mutalib menunjukkan replika kunci PPRS ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Brisu, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Scroll to Top