Mangsa serangan gajah sudah sedarkan diri

Mangsa serangan gajah sudah sedarkan diri

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Warga emas yang parah selepas diserang gajah liar di Kampung Laloh, Kuala Krai, ketika menoreh getah di belakang rumahnya pada pagi Khamis lalu sudah sedarkan diri.

Bagaimanapun, mangsa Zainab Mat Husin, 62, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk pemantauan lanjut.

Dalam kejadian berkenaan, Zainab parah di kedua-dua belah tangan, yang mana tangan kanannya hampir putus dan peha kanannya terkoyak.

Menurut anak saudara mangsa, Mohd Khairul Mohamad, 38, ketika dia melawat ibu saudaranya itu pada petang semalam, keadaan Zainab masih lemah dan tidak boleh bercakap selain terkejut dengan kejadian itu.

“Pada masa sama, doktor juga bagi ubat penenang supaya dia berehat sampai dia betul-betul kuat,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang warga emas wanita dan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) parah akibat diserang gajah liar dalam dua kejadian berasingan di kawasan penempatan Laloh, Kuala Krai.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan Daerah Kuala Krai terlebih dahulu menerima aduan berkaitan kejadian serangan gajah liar yang mencederakan seorang penduduk di kawasan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai.

Beliau berkata, semasa siasatan, gajah liar itu dikatakan bertindak agresif dengan menyerang kakitangan Perhilitan menyebabkan mangsa yang berusia 40 tahun cedera pada lutut kaki kanan akibat ditusuk gading gajah liar berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top