am@hmetro.com.my
Chukai: Keputusan kerajaan dalam meningkatkan kadar Pemberian Mengikut Orang (Capitation Grant) kepada negeri sebanyak 25 peratus bermula 2026 bukti hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia juga menunjukkan perbincangan sihat yang berlangsung antara kedua-dua pihak sekali gus membugarkan semangat federalisme yang termaktub kukuh dalam perlembagaan.
Beliau berkata, ia juga satu permulaan ke arah usaha menambah baik beberapa kadar pemberian lain kepada negeri dengan mengambil kira perbezaan demografi.
“Kali terakhir kadar ini dipinda adalah pada 2002, sudah pasti dalam tempoh 20 tahun banyak perubahan telah berlaku daripada aspek populasi rakyat dan nilai ekonomi.
“Dalam tempoh ini, kadar populasi di Terengganu meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada 936,000 penduduk pada 2002 kepada 1.23 juta penduduk sehingga kini.
“Alhamdulillah, saya kira ini satu permulaan yang baik dalam kita melakukan lebih banyak penambahbaikan dengan meneliti beberapa kadar pemberian kepada negeri yang lain akan wajar dikaji mengambil kira perbezaan demografi antara semua negeri di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad, di sini hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kadar Pemberian Mengikut Orang dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa 2026.
Anwar sebelum itu menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu bersama Ahmad Samsuri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di sini.
Sejurus selesai mesyuarat, Anwar terus mengadakan sesi ‘walkabout’ di Bazar Masjid Sultan Ahmad di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd