PPM patahkan aktiviti tangkap ikan tanpa lesen, rampas 42 bubu naga

PPM patahkan aktiviti tangkap ikan tanpa lesen, rampas 42 bubu naga

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen dalam Op Taring Gelora di sekitar Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Perak, hari ini.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi selama tiga jam bermula kira-kira 8 pagi itu berjaya merampas 42 set bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM4,200.

“Sepasukan pegawai dan anggota yang menjalankan rondaan mengesan tujuh aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di kawasan laut berdekatan pantai Tanjung Piandang.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas dan menyita 42 peralatan menangkap ikan iaitu bubu naga yang disyaki digunakan untuk aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi dan rampasan itu adalah susulan rungutan sering dibangkitkan nelayan pesisir pantai yang tidak berpuas hati terhadap aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga di kawasan berkenaan.

Katanya, kesemua barangan dirampas diserahkan kepada Pegawai Penyiasaat Jabatan Perikanan Kuala Kurau untuk siasatan lanjut.

Rusley berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 49 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top