Seronok 'kayak berdiri'

Seronok 'kayak berdiri'

hafizthnin@mediaprima.com.my

BAGI pengembara wanita berusia lebih 50 tahun ini, aktiviti air seperti tubing dan berkayak arus deras sudah menjadi kebiasaan yang amat seronok untuk dilakukan ketika bersantai.

Namun, dia melihat aktiviti berkayak dayung berdiri (SUP) yang semakin popular di Malaysia menarik untuk dipelajari dan diterokai kerana ia bukan sahaja boleh menguji keseimbangan badan, malah seronok dilakukan bersama rakan-rakan.

Lily Riani Jalil berkata, dia mula mengenali aktiviti SUP menerusi laman sosial dan pada awal tahun 2022 dia bersama seorang rakan mula mempelajari SUP di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, yuran yang dikenakan ketika itu sekitar RM250 seorang untuk sesi pembelajaran selama dua jam setengah dan diadakan di kawasan pesisir pantai Port Dickson.

“Saya mula tertarik untuk mempelajari SUP ini kerana ia kelihatan mudah dikendalikan, boleh dilakukan di kawasan tasik dan laut serta memerlukan latihan keseimbangan.

“Sebenarnya papan SUP mempunyai perbezaan dengan papan luncur ombak. Antaranya atas papan mempunyai bahagian untuk mengikat kaki individu yang mengendalikannya,” katanya.

Lily berkata, melakukan SUP lebih sesuai dengan dirinya dan tidak terlalu ekstrem berbanding bermain papan luncur ombak yang memerlukan keberanian.

“Bermain SUP ini biasanya di kawasan air yang tenang dan tidak berombak. Namun, saya difahamkan ia boleh dilakukan untuk ekspedisi antara lima hingga 10 kilometer,” katanya.

Katanya, sebelum memulakan latihan asas pengendalian SUP, dia dan peserta lain diperkenalkan dengan ciri-ciri yang ada atas kayak dan teknik keselamatan.

“Antara yang dipelajari adalah cara menyeimbangkan badan ketika mengendalikan papan SUP dan cara mengendalikan diri dan papan berkenaan sekiranya pengendali jatuh dalam air.

“Teknik ini dikatakan penting supaya seseorang itu tahu untuk melakukan langkah betul dan tidak panik sekiranya jatuh dalam air. Selain itu, pemakaian jaket keselamatan juga amat dititikberatkan,” katanya.

Katanya, dia puas dapat mempelajari SUP yang sebenarnya amat menyeronokkan. Apatah lagi, mengendalikan SUP dapat memberi kelainan cara menikmati keindahan pantai dan tasik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top