Inisiatif global dilancarkan, dakwa warga Israel atas jenayah perang Gaza

Inisiatif global dilancarkan, dakwa warga Israel atas jenayah perang Gaza

LONDON/ISTANBUL – International Centre of Justice for Palestinians (ICJP) telah melancarkan Global 195, satu inisiatif antarabangsa bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas jenayah perang di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Inisiatif itu bertujuan membolehkan pendakwaan terhadap suspek jenayah perang di seluruh dunia melalui kumpulan undang-undang bebas, menurut Pengarah ICJP Tayab Ali.

Bercakap kepada Anadolu, Ali berkata, ICJP telah mengumpulkan bukti jenayah perang di Gaza sejak 18 bulan lepas, menghimpunkan sejumlah besar bahan selaras dengan piawaian undang-undang jenayah British.

Beliau menegaskan bahawa bukti itu menunjukkan dengan jelas naratif jenayah perang yang dilakukan oleh Israel, sekali gus mendorong pelancaran Global 195.

Ali menjelaskan bahawa matlamat inisiatif itu adalah untuk menubuhkan kumpulan undang-undang bebas di setiap negara.

“Kami menamakan projek ini Global 195 kerana terdapat 195 negara di dunia, dan kami mahu menyebarkan inisiatif ini secara global,ā€ katanya.

Inisiatif itu akan membolehkan kumpulan undang-undang menggunakan bukti yang dikumpulkan untuk memfailkan aduan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.

Sekiranya pihak berkuasa gagal menyiasat atau mendakwa suspek, kumpulan itu akan mendapatkan waran tangkap persendirian dan memulakan pendakwaan secara persendirian terhadap individu yang didakwa terlibat dalam jenayah perang.

Bagaimanapun, Ali mengakui bahawa kerajaan tertentu mungkin terus melindungi suspek jenayah perang.

“Sebagai contoh, saya tidak dapat membayangkan Amerika Syarikat mempertimbangkan untuk mendakwa mana-mana individu dari Israel, tidak kira apa yang mereka lakukan, di bawah pentadbiran sekarang,ā€ katanya.

“…Inisiatif kami telah diterima baik oleh beberapa kerajaan, dan kami akan teruskan usaha ini.ā€

Shena Martinez dari ICJP Kanada menekankan tujuan inisiatif itu dengan berkata: ‘Matlamat inisiatif ini adalah untuk berusaha memastikan akauntabiliti wujud, terutamanya apabila kerajaan enggan bertindak.

Beliau menegaskan bahawa ramai warga asing dari negara seperti UK dan Kanada berkhidmat dalam tentera Israel, tetapi kerajaan mereka gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka meskipun terdapat potensi penglibatan dalam jenayah perang atau aktiviti haram lain.

Diketuai oleh ICJP, Global 195 ialah sebuah gabungan perundangan antarabangsa yang diwujudkan untuk membawa warga Israel serta individu memiliki dua kewarganegaraan yang didakwa melakukan jenayah perang di Gaza ke muka pengadilan di seluruh dunia.

Inisiatif itu menyasarkan pegawai kanan tentera dan politik Israel, serta pihak lain yang bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Di beberapa negara tertentu, gabungan itu berhasrat melancarkan pendakwaan khas terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan jenayah perang.

Melalui Global 195, ICJP bekerjasama dengan peguam dan organisasi di seluruh dunia bagi mewujudkan gerakan global untuk membawa suspek jenayah perang ke muka pengadilan.

Inisiatif itu disokong oleh organisasi perundangan dan masyarakat sivil dari UK, Kanada, Turkiye, Norway, Malaysia serta Bosnia & Herzegovina. – Bernama

Scroll to Top