Pelakon sensasi, Fattah Amin, 35, meluahkan rasa syukur dapat meluangkan masa bersama anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, 5, dalam pertemuan mereka semalam.
Pernah meluahkan perasaan kecewa apabila dia tidak dapat berjumpa dengan Fatima kerana anak tunggalnya tidak sihat, Fattah gembira dapat bertemu serta berbual banyak perkara dengan puterinya.
Menurut Fattah, Fatima masih berada dalam keadaan kurang sihat kerana demam, namun atas doa orang ramai juga akhirnya mereka berdua dapat bertemu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira, berkat doa semua orang, saya dapat berjumpa Fatima hari ini (semalam), sebelum acara ini bermula. Dia beritahu saya dia masih demam dan sedikit tidak sihat. Tetapi, keadaannya tak teruk sangat.
“Hari itu ketika mahu berjumpa dia (Fatima) memang saya tidak dapat jumpa kerana dia tidak sihat. Tapi, selepas dapat jumpa tadi (semalam), banyaklah saya bersembang dengan dia, banyak perkara kami bualkan,” katanya kepada XTRA.
Fattah ditemui di majlis berbuka puasa dan solat Tarawih Fattah Amin bersama anak-anak tahfiz, keluarga, peminat dan media di Rumah Abang Jamil Kuala Lumpur, semalam.
Berbicara mengenai sambutan Syawal pada tahun ini, Fattah akan meraikan bersama keluarga dan bakal bersama Fatima pada Hari Raya ketiga serta keempat.
“Saya dan bekas isteri akan bergilir-gilir. Fatima akan beraya dulu dengan ibunya pada 1 dan 2 Syawal. Selepas itu, pada raya ketiga serta keempat, baru giliran Fatima bersama saya.
“Kalau boleh nak lama sedikit beraya dengan Fatima, tapi dah ada persetujuan untuk bergilir-gilir itu. Jadi, kita tengok dulu macam mana perbincangan dengan pihak sana, tapi apa yang penting Fatima gembira.
“Insya-Allah, baju raya saya dengan Fatima warna biru. Cuma, buat masa ini saya pun belum berkesempatan (buat persiapan raya) kerana sibuk bekerja.
“Bagaimanapun, memandangkan saya juga duta Jakel pada tahun ini, jadi agak memudahkan bagi saya mempersiapkan semua itu untuk anak dan ahli keluarga saya,” katanya.
Pada 7 Oktober tahun lalu, Fattah bercerai talak satu dengan bekas isterinya juga pelakon, Nur Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup bersama.