TAPAH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui menerima banyak mesej menerusi aplikasi WhatsApp berhubung latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini semalam.
Beliau mengakui bimbang apabila dimaklumkan ada insiden serangan pengganas dan tebusan di politeknik itu sebelum mendapatkan kesahihannya daripada pihak bertanggungjawab.
“Sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama Anggota Yayasan Perak, saya ada menerima mesej dan diberitahu ada satu kelas (di PUO) jadi tebusan (pengganas).
“Saya kemudian meminta Exco (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah) untuk semak apa sebenarnya yang berlaku.
“Kemudian barulah saya dimaklumkan bahawa ia adalah latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Dari Mata Turun Ke Hati, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al Quran Al Ahmad, Tapah Road di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Katanya, latihan Ex Kurung oleh Pasukan Gerakan Khas 69 Komando diadakan di PUO semalam bagi memastikan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi situasi melibatkan pengganas yang sebenar.
Saarani berkata, orang ramai perlu tahu betapa sukar dan susahnya mereka yang terbabit dengan (menjaga) keselamatan seperti yang berlaku di Lahad Datu (Sabah) mahupun krisis tebusan Bangunan AIA (Ogos 1975).
“Oleh sebab itu kita kena sentiasa ada latihan secara berkala dibuat dan kita pun tak boleh hanya mengambil mudah (soal keselamatan),” katanya.
Media melaporkan semalam insiden ‘pengganas’, ‘tembakan’ dan ‘tebusan pelajar’ di PUO yang mencetuskan panik serta tular di media sosial adalah latihan Ex Kurung.
Latihan itu menyebabkan seorang pelajar perempuan berumur 22 tahun mengalami kecederaan terseliuh pada kaki kiri selepas terjatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri. – UTUSAN