PSM sasar pentas final di Piala Dunia Bihar

PSM sasar pentas final di Piala Dunia Bihar

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat sasaran relevan buat skuad lelaki negara pada Piala Dunia di Bihar, India bermula Khamis ini.

Skuad negara yang akan menyertai acara double dan kuadran mengintai peluang untuk beraksi di pentas final pada kejohanan berprestij itu.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kejohanan itu juga menjadi penanda aras mengenai tahap konsistensi double negara setelah menjuarai acara tersebut di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur Mei tahun lalu.

Beliau berkata, kejohanan tersebut juga menjadi medan ujian buat para pemain sebelum ke Piala Sepak Takraw Asia di Kuala Lumpur pada Mei depan.

“Kami mahu uji pemain boleh jadi juara double lagi (atau tidak). Misi untuk kekalkan juara bukan mudah.

“Bagi acara double, saya yakin dan berani meletakkan sasaran untuk mara ke final,” katanya.

Pada edisi Piala Dunia tahun lalu, Malaysia yang menjadi tuan rumah berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara regu dan double.

Mohd Sumali menjelaskan bahawa biarpun pihaknya ragu dengan prestasi dalam acara kuadran, namun percaya sesuatu mampu dilakukan oleh jurulatih Ahmad Jais Baharun.

“Kita baru memberi fokus kepada acara ini, jadi kejohanan ini sebagai medan ujian untuk mengukur kemampuan pasukan kita.

“Jadi mahu atau tidak, jurulatih perlu memikirkan strategi terbaik dan Bihar adalah platform terbaik bagi acara ini,” katanya.

Kejohanan itu akan disertai 20 negara termasuk tuan rumah India, selain Brazil, China, Taiwan, Perancis, Itali, Switzerland, Iran, Jepun, Malaysia, Myanmar, Indonesia, Nepal, New Zealand, Poland, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Scroll to Top