Lebih 200 berkumpul, baca al-Quran

Lebih 200 berkumpul, baca al-Quran

am@hmetro.com.my

Klang: Lebih 200 ahli kariah Masjid Bandar Bukit Raja di sini dan tetamu jemputannya menyertai program Road to World #QuranHour sempena Nuzul al-Quran, hari ini.

Nazir masjid, Md Nazri Mohamed Nor berkata, sebelum ini sambutan hari istimewa itu diisi dengan program ilmu serta forum, namun berbeza tahun ini apabila dianjurkan aktiviti membaca kitab suci secara beramai-ramai.

“Kita bukan sahaja membaca tapi memahami isi al-Quran tersebut. Jadi program hari ini mendapat penglibatan kariah masjid serta sokongan agensi kerajaan yang sudi menerima pelawaan kami.

“Harapan besar kami agar program ini diadakan secara berkala selepas ini. Terima kasih kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang sudi berkolabrasi dengan kami walaupun kita sedia maklum World #QuranHour yang sebenar akan diadakan pada 24 Ramadan ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hadir sama, Imam Masjid Negeri Selangor, Sheikh Abdul Karim Omar dan Johan Majlis Tilawah al Quran Peringkat Kebangsaan 2013, Dr Anuar Hasin.

Md Nazari berharap program itu mampu memupuk kecintaan tinggi terhadap al-Quran dan menjadikan al-Quran cahaya menerangi kehidupan kariah masjid terutama generasi muda.

Selain program itu, pelbagai pengisian lain dianjurkan masjid berusia tiga tahun itu antaranya, Halaqah al-Quran 30 juzuk bersama pelajar tahfiz; perkongsian kesihatan bersama KPJ Klang; alunan zikir dan iftar perdana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top