am@hmetro.com.my
Gua Musang: Laluan di Kilometer (KM) 78 Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, yang terdapat tiga lubang benam akan dibuka kepada kenderaan ringan sebelum 28 Mac ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sehingga kini laluan terbabit sedang dalam pembaikan dan sudah 50 peratus siap.
Katanya, kos pembaikan untuk lubang benam dan kejadian banjir lumpur yang berlaku di laluan itu adalah sebanyak RM2 juta.
“Kini pembaikan sudah 50 siap dan pihak syarikat konsesi sedang membina pembentung di kawasan terbabit.
“Kita jangkakan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini satu lorong akan dibuka bagi kemudahan perantau untuk pulang berhari raya,” katanya.
Terdahulu beliau hadir meninjau Projek Menaik taraf Fasiliti Pembiakan Spesis Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), di sini, milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Menurut beliau, sebelum 28 Mac ini semua kenderaan tidak dibenarkan melalui jalan terbabit sehingga dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh- Cameron Highland.
“Tiga lubang benam yang berlaku di laluan terbabit sudah kita tutup dan proses pembaikan sedang giat dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd