Singapura keluar amaran hujan lebat, banjir kilat dari 19 hingga 21 Mac

Singapura keluar amaran hujan lebat, banjir kilat dari 19 hingga 21 Mac

SINGAPURA: Agensi Air Negara (PUB) memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku banjir kilat susulan ramalan hujan lebat pada hujung minggu ini.

Menurut Perkhidmatan Meteorologi Singapura (MSS), peningkatan monsun dijangkakan berlaku antara 19 hingga 21 Mac yang menyebabkan hujan sederhana hingga lebat di seluruh republik ini.

MSS turut meramalkan lonjakan monsun ini akan membawa keadaan berangin dan lebih sejuk, termasuk suhu minimum harian yang lebih rendah sekitar 22 darjah Celsius diikuti antara 24 hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari bulan Mac.

Peningkatan monsun ini berlaku apabila angin timur laut semakin kuat di Laut China Selatan menyebabkan pembentukan awan hujan meluas di kawasan sekitarnya.

“Hujan lebat secara mendadak mungkin mengganggu sistem saliran dan terusan buat sementara waktu, menyebabkan banjir kilat,” kata PUB dalam hantaran media sosial, sambil menasihati orang ramai untuk meneliti amaran banjir dan merancang laluan perjalanan yang sewajarnya.

MSS juga menyatakan dalam ramalannya bahawa hujan singkat beserta guruh akan berlaku pada waktu petang sepanjang separuh kedua bulan Mac sekaligus melebihi purata di kebanyakan kawasan Singapura.

Pada awal tahun ini, Singapura mengalami peningkatan monsun dari 10 hingga 13 Januari, yang menurut MSS merupakan salah satu peningkatan monsun lebih lama dan kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lonjakan itu membawa hujan sederhana hingga lebat dan mengakibatkan amaran risiko banjir di beberapa lokasi. Banjir berlaku di sepanjang Jalan Seaview pada 10 Januari disebabkan oleh hujan lebat yang berlaku serentak dengan air pasang.

Sebanyak 12 penerbangan juga dialihkan dari Lapangan Terbang Changi akibat keadaan cuaca buruk.

Menurut PUB, Changi mencatatkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 255.2mm dari 10 hingga 11 Januari, melebihi purata hujan bulanan Singapura pada Januari iaitu 222.4mm.

Scroll to Top