Didenda RM10,000 simpan landak raya, murai batu

Didenda RM10,000 simpan landak raya, murai batu

SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan haiwan dilindungi tanpa lesen iaitu landak raya dan burung murai batu, tahun lalu.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Muhammad Nazrin Md. Yunus, 30, yang menjalankan kerja-kerja kampung.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati menyimpan tanpa lesen seekor landak raya (hystrix brachyura) dan seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah rumah beralamat di Felda Pasoh 1, Simpang Pertang, Jelebu pada 21 Mei 2024.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 (1) (a) Akta 716 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda yang ringan kerana tidak mempunyai kerja tetap dan perlu menyara ibu bapa.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ain Nur Shainaz Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Dalam kamar sama, pembantu kedai makan, Tan Mei Ching, 42, didenda sebanyak RM5,000 atas pertuduhan menyimpan dua kura-kura african spurred (geochelone sulcata) tanpa lesen di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini pada April 2024.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyimpan haiwan itu iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta 716.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia sekeluarga tidak mengetahui mengenai undang-undang memelihara haiwan itu dan ia dianggap sebagai budaya feng shui.

Difahamkan kedua-dua tertuduh telah membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top