Tukang rumah dipenjara 10 bulan simpan 'buku lima'

Tukang rumah dipenjara 10 bulan simpan 'buku lima'

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Tukang rumah dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki buku lima kononnya untuk pertahanan diri.

Mohamad Fitry Amirul Ezzy Abdullah, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu buku lima besi tanpa kebenaran sah di hadapan sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, Semerah, di sini, 12.30 tengah malam, 15 Mac lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, polis melakukan serbuan di sebuah rumah dan menahan tertuduh dengan pemeriksaan menemui buku lima diletakkan dalam saku seluar yang dipakai tertuduh.

Pada hari kejadian, tertuduh sebelum itu bertandang ke rumah rakannya dengan membawa senjata itu yang didakwa hasil pemberian datuknya.

Susulan penemuan senjata itu, tertuduh ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh ditahan, 15 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top