BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh selepas Israel melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran ke atas Gaza pada awal pagi Selasa, mangsa yang sebahagian besarnya wanita serta kanak-kanak.
Serangan itu menyasarkan beberapa lokasi utama termasuk Bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis, dan Rafah, menjadikannya serangan paling dahsyat sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari lalu.
Seorang pegawai kanan Hamas mendakwa Israel membatalkan perjanjian gencatan senjata secara sebelah pihak.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu, tetapi pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan tentera diarahkan ‘melakukan tindakan tegas terhadap organisasi kumpulan pejuang Hamas’.
“Ia berikutan Hamas berulang kali enggan membebaskan tebusan kami, serta penolakannya terhadap semua cadangan yang diterimanya daripada Utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan pasukan perantara.
“Mulai sekarang, Israel akan bertindak terhadap Hamas dengan kekuatan ketenteraan yang terus meningkat,” katanya.
Sementara itu, Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 35 serangan udara di Gaza.
Ketika serangan berlaku, seorang jurucakap Rumah Putih mengesahkan bahawa Israel telah berbincang dengan pentadbiran Trump sebelum melancarkan serangan.
Dalam wawancara dalam rancangan “Hannity” di Fox News, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata, “Pentadbiran Trump dan Rumah Putih telah dirujuk oleh Israel berhubung serangan mereka di Gaza malam ini.”
Beliau turut menambah bahawa Presiden Donald Trump telah memberi amaran kepada Hamas dan kumpulan lain, termasuk Houthi yang disokong Iran, bahawa mereka akan “membayar harga mahal” atas tindakan mereka.
Peningkatan keganasan ini berlaku di tengah-tengah pertelingkahan antara Israel dan Hamas mengenai cara penyelesaian untuk meneruskan gencatan senjata tiga fasa yang bermula pada Januari.
Perantara Arab Saudi dengan sokongan AS, masih gagal mencapai kesepakatan antara kedua-dua pihak yang berperang dalam rundingan yang berlangsung selama dua minggu lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 48,572 rakyat Palestin disahkan terbunuh dan 112,032 cedera dalam perang Israel ke atas Gaza, sehingga gencatan senjata diumumkan.