Kuala Lumpur: International Finance Corporation (IFC), ahli Kumpulan Bank Dunia dan Cagamas Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperluas pembiayaan bangunan hijau di Malaysia sebagai antara usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong sasaran negara untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050.
Dalam kenyataan bersama semalam katanya, kerjasama ini bertujuan menyokong pelaburan mesra iklim dalam sektor perumahan dan pembinaan di samping membantu institusi kewangan membangunkan produk pembiayaan hijau seperti bon hijau, barisan kredit dan pembiayaan bagi teknologi penyejukan mampan seiring dengan matlamat iklim Malaysia.
Ini pembabitan pertama IFC dalam sektor bangunan hijau di Malaysia. IFC memulakan operasi di Malaysia pada 2023. Cagamas adalah perbadanan gadai janji negara di Malaysia.
Menurut kenyataan itu kerjasama ini juga bertujuan membantu institusi kewangan membina projek dirancang yang dapat diterima bank, menguruskan risiko alam sekitar, sosial dan iklim dalam sektor bangunan serta mempermudah dialog untuk menangani halangan terhadap pembangunan perumahan mampan antara sektor awam dan sektor perbankan.
“Kerjasama ini turut berhasrat untuk menjadikan perumahan hijau lebih mampu milik dan mudah diakses oleh golongan berpendapatan lebih rendah dan wanita di Malaysia dengan memperluas pasaran bagi produk gadai janji hijau dan menangani jurang pembiayaan perumahan yang lain,” katanya.
Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia untuk Malaysia, Judith Green berkata, ini menyokong permintaan terhadap perumahan hijau di samping menyumbang kepada usaha kemasukan Malaysia.
“Kami bersama-sama menyasarkan untuk meningkatkan akses kepada perumahan dan mengurangkan pelepasan, menggalakkan pelaburan pintar iklim dalam sektor bangunan dan memperkukuh kapasiti sektor kewangan bagi menyokong Malaysia dalam mencapai komitmen iklimnya menerusi Perjanjian Paris,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd