Ular jadi ‘senjata’ rompak minyak di kedai serbaneka

Ular jadi ‘senjata’ rompak minyak di kedai serbaneka
Ular jadi ‘senjata’ rompak minyak di kedai serbaneka

Ular sawa digunakan sebagai ‘senjata’ untuk merompak sebuah kedai serbaneka di Madison County, Tennessee. Foto Agensi

TENNESSEE – Sekumpulan penjenayah menggunakan ular sawa sebagai ‘senjata’ untuk merompak sebuah kedai serbaneka di Madison County, Tennessee, baru-baru ini.

Menurut pihak berkuasa, suspek masing-masing dua lelaki dan wanita memasuki sebuah kedai serbaneka Citgo sebelum melarikan minyak cannabidiol (CBD) bernilai RM1,778 atau A$400.

“CBD ialah sejenis minyak yang diekstrak daripada tumbuhan ganja dan biasanya digunakan untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

“Kumpulan itu melarikan diri menaiki sebuah kereta sedan dengan bahagian bonet belakang diikat menggunakan tali,” kata agensi tersebut dalam satu kenyataan.

Menerusi hantaran di Instagram CrimeStoppers Madison County, polis turut berkongsi beberapa gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai suspek terlibat.

Sementara itu, seorang pekerja di kedai serbaneka terbabit, Mayur Raval berkata, dia dan adiknya menyaksikan kejadian tersebut ketika bertugas di premis berkenaan.

“Saya melihat mereka masuk ke dalam kedai lalu melibas-libas ular sebelum meletakkannya di atas kaunter.

“Salah seekor ular itu berwarna putih manakala seekor lagi berwarna coklat atau campuran,” katanya sebagai saksi kejadian.

Raval turut percaya kumpulan terbabit mungkin mencuri lebih banyak barangan sekiranya premis berkenaan tidak dipenuhi pelanggan.

“Saya percaya kedai ini memang sudah lama menjadi sasaran mereka untuk dirompak. Mereka meletakkan kenderaan betul-betul di hadapan pintu,” tambahnya.

Untuk rekod, ular sawa adalah spesies tidak berbisa yang mampu membesar sehingga 10 meter dan seberat 113 kilogram.

Haiwan itu biasanya membunuh mangsa dengan membelit dan menyebabkan mereka sesak nafas.

Sehingga kini, polis masih memburu semua suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi CrimeStoppers di talian 731-424-8477. – Agensi

Scroll to Top