PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberikan pandangannya mengenai bakat pemain tempatan yang disifatkannya perlu bersaing untuk mendapatkan tempat sama ada dalam pasukan kelab mahupun dalam skuad negara.
Menurut baginda yang juga penggerak revolusi Harimau Malaya, pemain tempatan mempunyai bakat, namun mereka perlu bekerja keras dan meningkatkan persembahan mereka terutama jika mahu menembusi pasukan Harimau Malaya.
Ketika ini, skuad negara sedang mendapatkan seramai mungkin pemain warisan untuk menyarung jersi kebangsaan sekali gus menambah kualiti dimiliki pasukan negara dalam usaha untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Setakat ini, tiga pemain warisan dilaporkan sudah berada dalam fasa akhir pendaftaran dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Industri bola sepak ini bukan satu khidmat sosial. Jadi, bagi saya kalau pemain tempatan nak main, mereka kena meningkatkan kualiti mereka.
“Bukan saya nak kata mereka tidak bagus. Ya, kita ada pemain yang bagus, tetapi kadang-kadang kita di Malaysia ini, kita tak suka terima kenyataan.
“Kita selalu ada ‘halusinasi’ yang kata kita lebih baik daripada semua orang. Kita Brazil, kita adalah Argentina. Apabila pasukan kebangsaan kalah, kita tidak boleh terima.
“Sekarang kita tengok tindakan positif daripada Indonesia. Pemikiran mereka satu sahaja iaitu nak main Piala Dunia. Nak layak ke Piala Dunia. Apa cara? ‘Forget it’. Ni bukan nak menjaga hati pihak lain atau hati orang lain,” kata baginda baru-baru ini.
Tunku Mahkota Ismail berkata, Indonesia menggunakan pelbagai cara termasuk pemain warisan yang diambil untuk mengukuhkan pasukan.
“Mereka hanya mahukan negara dapat beraksi di Piala Dunia. Dulu pun saya pernah katakan perkara ini, tetapi masa tu yalah macam biasa, di Malaysia ni semua orang suka ketawakan saya.
“Lepas tu, akhirnya saya betul. FIFA juga dah buka kuota yang lebih ramai. Lebih banyak untuk pasukan daripada ASEAN untuk terlibat.
“Jadi, ada kemungkinan (untuk layak). Sebab itu saya mendesak kerajaan untuk mengambil peluang ini dan memanfaatkannya sepenuhnya bagi memastikan mereka menyokong pasukan negara dapat beraksi dalam kelayakan Piala Dunia dan seterusnya.
“Kita perlu berusaha sekeras mungkin kerana negara-negara jiran kita telah mengambil langkah-langkah yang betul,” ujar baginda.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, situasi sama juga berlaku dalam pasukan Harimau Selatan dengan pemain tempatan perlu untuk bersaing sekiranya mahu beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).
“Siapa-siapa pun boleh main dalam ACLE tetapi mereka kena sedia. Bukan berdasarkan bakat sahaja, tetapi juga keputusan yang dibuat.
“Kita tidak ada akademi sebelum ini. Sekarang, JDT sudah ada akademi yang kita mula tujuh tahun dulu. Tetapi pasukan lain sampai hari ini masih tiada akademi.
“Saya bukan mahu mengatakan pemain tempatan kita tidak bagus, tetapi mereka perlukan lebih banyak persaingan. Jika mereka mahu bermain di ACLE, mereka harus meningkatkan prestasi mereka.
“Jurulatih akan menilai pemain berdasarkan prestasi mereka, bukan warna kulit,” kata baginda.