Hargai kepercayaan pengarah

Hargai kepercayaan pengarah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Pelakon drama dan teater, Akmal Ahmad teruja dapat membawakan watak komedi dalam lakonannya selepas sering diberi kepercayaan membawa watak antagonis atau jahat.

Akmal berkata, dia seronok membintangi telefilem RTM, Sebalik Balik arahan Danny Alamsyah sebagai watak Dali, seorang yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap falsafah hidup.

“Watak Dali ini juga seorang yang kelakar. Penuh dengan komedi dan saya tak sangka dapat melakonkannya dengan baik sehingga rasa terlebih ‘over’ pun ada.

“Tapi, saya amat seronok dengan watak ini sebab ia beri peluang untuk saya cuba komedi. Alhamdulillah, tak sangka boleh juga saya buat (komedi).

“Ini kerana, saya banyak melakonkan drama dan filem sebagai watak jahat. Jadi bila sekali-sekala dapat watak komedi, saya buat betul-betul,” katanya.

Akmal ditemui ketika hadir di majlis pratonton Panggung RTM Khas Ramadan 2025 – Sebalik Balik di Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Akmal, dia tidak menafikan raut wajahnya yang serius sering membuat watak ‘hitam’ mudah diperoleh berbanding watak lain.

Mengulas mengenai dialek Perak yang dituturkan, Akmal berkata, dia tiada masalah kerana ada ahli keluarga memang berasal dari negeri itu terutama dari Kuala Kangsar.

“Saya boleh saja bercakap dialek Perak sebab ramai ahli keluarga saya menetap di negeri itu. Sebagai pelakon, ini juga tanggungjawab saya terhadap watak yang dibawakan.

“Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk watak komedi. Saya memang ‘happy’ dan berusaha melakukan sehabis baik dan inilah hasilnya,” katanya.

Telefilem Sebalik Balik akan ditayangkan TV1 pada 22 Mac ini, jam 9 malam yang turut dibarisi pelakon lain seperti Shahz Jaszle, Delimawati, Fathil Dani dan Shiqin Kamal.

Akmal yang juga graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serius berlakon sejak 2014 dan pernah membintangi filem Pulang, Hilang dan Coast Guard : Ops Helang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top