Hidup dengan tiub khas sejak lahir

Hidup dengan tiub khas sejak lahir

am@hmetro.com.my

Larut: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terpaksa menjalani kehidupan sukar apabila bergantung kepada beg khas yang menyalurkan lebihan cecair dari tubuhnya akibat masalah buah pinggang sejak lahir.

Mohd Affan Iman Mohd Amirul , dari Kampung Jemerang Star, Batu Kurau, bukan sahaja perlu membawa beg tersebut setiap hari, malah pergerakannya sangat terbatas kerana tiub yang disambungkan ke pinggangnya sering tercabut dan menyebabkan pendarahan.

Lebih memilukan, keluarganya yang bergelut dengan kesempitan hidup tidak mampu menanggung kos rawatan yang diperlukan bagi memastikan keadaan buah pinggangnya tidak semakin teruk.

Menurut ibunya, Nurul Ainna Hassan, 27, tiub kateter peritoneal yang disambungkan ke pinggang anaknya kerap tercabut dan menyebabkan pendarahan.

“Kami sangat bimbang risiko jangkitan kuman. Tiub ini perlu ditukar setiap minggu, dan kosnya agak membebankan kerana suami saya (Mohd Amirul Mohammad, 30) hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,200 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Disebabkan kekangan kewangan dan jarak perjalanan, mereka tidak dapat menjalani rawatan dialisis peritoneal di Hospital Pulau Pinang seperti yang disarankan oleh doktor.

“Jadi, untuk memastikan kuman tidak merebak atau buah pinggangnya membengkak, kami hanya mampu menukar tiub kateter peritoneal ini di Hospital Taiping setiap minggu,” katanya.

Nurul Ainna juga berduka kerana hasrat anaknya untuk bersekolah mungkin tidak dapat direalisasikan akibat keadaan kesihatannya yang berisiko tinggi.

“Disebabkan dia perlu memakai tiub beg ini, impiannya untuk bersekolah mungkin terpaksa dilupakan. Saya sudah bertanya kepada pihak sekolah, tetapi mereka bimbang risiko tiub tercabut dan menyebabkan pendarahan,” katanya.

Katanya, menurut doktor, ada kemungkinan buah pinggang anaknya boleh sembuh jika pembedahan dilakukan untuk menanam tiub dalam saluran kencingnya.

Namun, Nurul Ainna menurut mereka tidak pasti anggaran kos dan jelas tidak mampu membiayainya.

Mohd Affan Iman kini hanya bergantung kepada pendapatan bapanya serta bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga ini, **Pengerusi Kelab Prihatin Seumur (KPS), Mohd Nor Mat Daud, tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi ibunya di talian 013-8519711 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 707 019 4099 (Mohd Amirul).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top