Messi direhatkan, terlepas aksi kelayakan Piala Dunia bersama Argentina

Messi direhatkan, terlepas aksi kelayakan Piala Dunia bersama Argentina

Buenos Aires: Lionel Messi tidak tersenarai dalam skuad Argentina bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dan Brazil selepas mengalami kecederaan otot.

Bintang Inter Miami itu meledak gol sensasi ketika membantu pasukannya menang 2-1 ke atas Atlanta United dalam saingan Major League Soccer (MLS), namun mengalami ketidakselesaan otot selepas perlawanan, menurut laporan media tempatan.

Susulan itu, Messi, 37, digugurkan daripada skuad yang diumumkan jurulatih Lionel Scaloni dan akan kekal di Amerika Syarikat untuk menjalani pemulihan.

Argentina yang kini mendahului carta kelayakan zon CONMEBOL dengan 25 mata selepas 12 perlawanan akan bertandang ke Uruguay, pasukan di tangga kedua, pada Sabtu.

Mereka kemudian bakal menerima kunjungan Brazil pada 26 Mac, tanpa kehadiran Neymar yang sebelum ini dijangka kembali ke skuad Selecao selepas lebih setahun tetapi terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top