
Aksi wanita berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet. Foto Agensi
JAKARTA – Gelagat lucu seorang wanita Indonesia yang berpura-pura dirasuk demi mengelak daripada membayar hutang telah mencuri perhatian ramai dan menjadi tular di media sosial.
Insiden ini mengundang pelbagai reaksi warganet, yang rata-rata terhibur dengan ‘lakonan’ luar biasa tersebut.
Rakaman kejadian ini dimuat naik oleh pengguna TikTok @bayuarmanda2212 pada Jumaat, memperlihatkan seorang lelaki bernama Mas Bayu dan rakannya tiba di rumah wanita berkenaan untuk menuntut bayaran hutang.
Hutang tersebut dipercayai dibuat melalui bank bergerak, yang dikenali sebagai ‘plecit’, (pemberi pinjaman tidak berlesen).
Namun, ketika diminta hutang, wanita itu secara tiba-tiba berpura-pura dirasuk, bahkan sanggup berguling-guling di halaman rumahnya bagi meyakinkan penagih hutang bahawa dia tidak berada dalam keadaan sedar.
Menariknya, Mas Bayu dan rakannya langsung tidak terkejut atau panik, kerana mereka sudah biasa berhadapan dengan pelbagai helah peminjam yang enggan membayar hutang. Mereka hanya memerhati dengan tenang, seolah-olah sudah menjangka aksi sebegitu.
Meskipun begitu, wanita tersebut tetap meneruskan lakonannya tanpa rasa segan. Setelah lama menunggu tanpa sebarang perkembangan, kedua-dua penagih hutang akhirnya mengambil keputusan untuk beredar.
Video ini telah ditonton lebih 2.3 juta kali dan menerima lebih daripada 141,000 tanda suka. Warganet turut membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi lucu dan berseloroh mengenai cara kreatif wanita itu mengelak daripada melunaskan hutangnya.
“Kalau begini caranya, mungkin boleh menang anugerah lakonan terbaik!” komen salah seorang pengguna media sosial. -Agensi