Bochum: Sepak mula perlawanan Bundesliga antara Bochum dan Eintracht Frankfurt, awal pagi tadi, tertangguh selama 50 minit selepas sepanduk yang digantung penyokong pelawat menghalang laluan kecemasan di dalam stadium.
Pihak penganjur beberapa kali membuat pengumuman di stadium dan menerusi skrin besar agar penyokong Frankfurt menurunkan sepanduk berkenaan, namun arahan itu tidak diendahkan.
Situasi itu memaksa pengadil Felix Zwayer mengarahkan kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan, malah laporan tabloid Jerman Bild mendakwa pengadil mengugut untuk membatalkan perlawanan sekiranya sepanduk itu tidak dialihkan.
Sepanduk berkenaan akhirnya diturunkan selepas pengarah sukan Frankfurt, Markus Kroesche, turun sendiri berunding dengan penyokong mereka.
Bagaimanapun, beberapa penyokong Frankfurt dilaporkan meninggalkan stadium sebagai tanda protes, manakala sebahagian lagi melaungkan rasa tidak puas hati dengan menuduh keputusan menangguhkan perlawanan sebagai ‘tidak masuk akal’.
Insiden hampir sama pernah berlaku di stadium Bochum pada Januari 2024 ketika perlawanan menentang Stuttgart, yang turut tertangguh selama 40 minit akibat tindakan penyokong pelawat menggantung sepanduk di laluan kecemasan.
Stadium Ruhrstadion, yang antara venue tertua di Bundesliga, mempunyai laluan kecemasan yang terus menghala ke padang, berbeza dengan kebanyakan stadium moden lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd