Salina syukur, gembira Syamsul berbaik dengan keluarga

Salina syukur, gembira Syamsul berbaik dengan keluarga

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon Salina Saibi, 43, mengakui dia turut gembira dan bersyukur bila mendapat tahu pengarah terkenal, Syamsul Yusof sudah berbaik semula dengan keluarganya.

Salina yang cukup sinonim dengan watak ASP Salina dalam drama bersiri kepolisan Gerak Khas berkata, bukan sahaja dirinya, seluruh keluarga produksi Skop Productions juga turut sama merasai kegembiraan itu.

“Alhamdulillah, saya antara orang yang paling bahagia kerana memang sudah impikan perkara itu berlaku. Setiap kali lepas solat, saya selalu mendoakan mereka.

“Kita tak tahu apa yang terjadi antara Syamsul dan keluarganya kerana hanya mereka sahaja yang tahu. Jadi bila dapat tahu mereka sudah bersatu kembali, memang satu keluarga Skop Productions juga sangat gembira,” katanya ketika ditemui pada sidang media Starvendors KL Mega Raya Fest 2025 di sini, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia pernah menghubungi dan memujuk Syamsul untuk pulang ke rumah pula, kata Salina, dia pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sebagai kawan, saya ada hubungi Syamsul sebelum ini tetapi tidak sentuh isunya bersama keluarga secara ‘direct’ (terus terang) sangat sebaliknya hanya beri bayangan sahaja. Syamsul hanya diam dan relaks (tidak emosi) sahaja bila saya bercakap dengannya.

“Saya memang baik dengan Syamsul tapi tidak mahu masuk campur urusannya (konfliknya) bersama keluarga sebab tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya juga tak nak komen lebih-lebih perkara itu,” katanya.

Ditanya sama ada dia ada bertemu Syamsul pula, kata Salina, dia hanya nampak pengarah sensasi itu melalui media sosial sahaja.

“Saya tidak berjumpa Syamsul di rumah kedua ibu bapanya atau di lokasi penggambaran selepas dapat tahu berita gembira itu.

“Apapun, kita doakan yang baik-baik kerana setiap keluarga ada turun naik nya dan kita juga tidak mahu melihat perpecahan berlaku dalam keluarga mereka.

“Apa yang kita harapkan ialah silaturahim kembali terjalin dan kita semua tumpang bahagia. Sama sama kita doakan,” katanya.

Terdahulu, hubungan Syamsul dan kedua ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah sudah kembali baik sejak penghujung tahun lalu.

Lebih istimewa, Syamsul dikatakan bercuti bersama keluarganya di Switzerland, pada awal tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd