am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Dua lelaki maut selepas motosikal bertembung dalam kemalangan di Jalan Felda Sahabat 40, di sini, semalam.
Kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa warga Indonesia berusia 43 tahun dan seorang warga Filipina berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lelaki berusia 43 tahun berkenaan dari arah Felda Sahabat 30 menuju ke Kembara Sakti.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah lagi motosikal jenis Suzuki ditunggang remaja lelaki tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan bertembung.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang terbabit cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa terbabit dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses bedah siasat.
“Sampel darah kedua-dua mangsa juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Humaidi Harun di talian 098-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
© New Straits Times Press (M) Bhd