Warga emas dibunuh: 6 individu diambil keterangan

Warga emas dibunuh: 6 individu diambil keterangan

PETALING JAYA: Polis selesai merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki warga emas yang ditemukan mati dalam sebuah rumah di Kampung Baru Puchong, Puchong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian tersebut.

“Setakat ini, enam individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. Kita (polis) sedang berusaha mengesan suspek serta mendapatkan gambaran jelas mengenai motif pembunuhan ini.

“Telefon bimbit milik mangsa serta senjata yang digunakan dalam kejadian juga masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan serius pada kepala dan leher berpunca daripada objek tajam.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an ditemukan mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan dalam sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Kejadian terbongkar selepas seorang wanita tempatan terhidu bau busuk sebelum melaporkannya kepada pihak polis kira-kira pukul 3.04 petang.

Siasatan awal pasukan forensik menemukan kesan kecederaan pada kepala, telinga serta belakang badan mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hingga empat hari lalu.

Pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun mendapati tiada barang berharga yang hilang kecuali telefon bimbit milik mangsa yang masih gagal ditemukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat. – UTUSAN

Scroll to Top