am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Polis menahan 13 warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan di Batu 8 Jalan Changkat Jong, di sini malam tadi, susulan kematian rakan senegara mereka akibat dilanggar lari.
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas beberapa video dan gambar dimuat naik warganet.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mereka yang juga pekerja kilang di sini didakwa cuba mencetuskan rusuhan dalam kalangan 1,000 pekerja kilang itu secara menghalang lalu lintas.
“Daripada siasatan yang dijalankan, didapati 1,000 pekerja kilang berkenaan turun ke tempat kejadian sehingga menghalang lalu lintas. Kumpulan ini berkumpul atas jalan raya dan menghalang lalu lintas.
“Ia susulan kemalangan kes langgar lari dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membabitkan kematian seorang warga Nepal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, insiden rusuhan itu dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Hilir Perak pada 9.35 malam tadi daripada pusat Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS).
Katanya, pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kemudiannya digerakkan bagi mengawal situasi, dengan suasana pulih sepenuhnya pada 2 pagi, apabila semua pekerja warga Nepal kembali ke asrama penginapan mereka.
Menurutnya, warga Nepal yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan langgar lari itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Syamil di talian 011-10065817,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd