mahaizura@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini membawa makna dan keceriaan kepada 150 golongan asnaf dan memerlukan di sekitar Kota Damansara apabila menerima Kotak Rezeki Titipan Kasih Ramadan Harian Metro Bersama Cadbury Dairy Milk (Cadbury).
Istimewanya, Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan asas seperti gula, susu pekat, tepung, biskut, teh, kopi, kicap, sos cili, sardin dan bihun turut disajikan dengan biskut tart coklat Cadbury yang dihasilkan 25 wanita dan ibu tunggal yang dilantik untuk melaksanakan projek ‘Kuih Raya Dari Hati’ iaitu program tanggungjawab sosial korporat antara Cadbury dan Yayasan MyKasih.
Ibu tunggal, Surahaya Abdul Rahman, 50, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 berkata, sumbangan Kotak Rezeki berkenaan amat meringankan bebannya kerana pendapatan tidak menentu.
“Keadaan cuaca hujan dan panas terik menyebabkan saya kurang ambil tempahan bagi menghantar makanan dan barangan kerana menggunakan motosikal.
“Alhamdulillah, rezeki saya dipilih menerima Kotak Rezeki Harian Metro dan Cadbury ini, jadi sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya dalam bulan Ramadan dan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.
Seorang lagi penerima, Jaferi Salleh, 60, dari PPR Seksyen 4 berkata, sumbangan itu membantunya berjimat cermat dalam membuat persiapan Aidilfitri.
“Sumbangan ini sudah tentu meringankan beban persiapan raya kami tahun ini kerana tidak perlu keluar duit banyak.
“Duit yang ada boleh digunakan untuk beli keperluan lain yang lebih penting,” katanya.
Bagi penerima warga emas, Azizah Abd Aziz, 66, dia menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Harian Metro dan Cadbury menyantuninya dan suaminya Adnan Bain,68.
“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana dengan adanya sumbangan ini, kami dapat berjimat dalam membuat persiapan raya.
“Harap program seperti ini dapat diteruskan untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd