Rancangan salur air Sungai Perak ke Bukit Merah di peringkat akhir – Anwar

Rancangan salur air Sungai Perak ke Bukit Merah di peringkat akhir – Anwar

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Rancangan pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian kini sudah di peringkat akhir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, penyaluran air yang antaranya bagi menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, selain mengatasi masalah pengairan yang sering dihadapi penduduk daerah Kerian dapat diatasi dengan projek itu.

Katanya, perancangan projek baik pulih dan menambah keupayaan Sungai Perak menerusi Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) itu juga bertujuan menyalurkan air terawat yang diambil dari Sungai Perak ke Pulau Pinang.

“Ada usaha besar pentadbiran kita bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sini, jadi kita sudah putuskan, sekarang peringkat akhir perancangan untuk kita baik pulih dan tambah keupayaan Sungai Perak dan buat saliran terus kepada saluran air di Bukit Merah, Kerian.

“Bekalan air yang disalurkan ini bukan sahaja untuk KIGIP yang juga kawasan pembangunan baharu kita, tetapi juga untuk seluruh daerah ini (Kerian) sampailah ke Seberang Perai (Pulau Pinang) untuk air dibekalkan untuk Pulau Pinang, atas jasa baik orang Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Alaudin, Selinsing hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Terdahulu, sebelum menghadiri majlis berbuka puasa itu, Anwar menghadiri sesi taklimat di Bukit Merah Laketown Resort, berhubung pembangunan dan projek baharu di Perak termasuk keperluan pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian bagi menyelesaikan masalah pengairan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top