Ismail Sabri sambung keterangan Isnin, beri kerjasama baik – Azam

Ismail Sabri sambung keterangan Isnin, beri kerjasama baik – Azam

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyambung memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram Isnin ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata proses merekod keterangan itu akan disambung Isnin berikutan Ismail Sabri mempunyai program yang dijadualkan diadakan di Bera, Pahang.

“Ismail Sabri memberikan kerjasama baik dengan SPRM sepanjang sesi rakaman keterangan yang memasuki hari kedua hari ini.

“Beliau bekerjasama dengan pegawai yang merekodkan keterangan, tetapi saya tidak boleh mendedahkan kenyataan beliau,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail hadir bagi dirakam keterangan berhubung kes itu pada pukul 8.46 pagi tadi, sebelum keluar pada 12.30 tengah hari untuk solat Jumaat, dan kembali semula di Ibu Pejabat SPRM pada 3.25 petang bagi menyambung sesi.

Kenderaan yang dinaiki beliau kemudiannya dilihat meninggalkan perkarangan SPRM pada 5.42 petang.

Semalam Ismail Sabri telah telah hadir dan mula memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan, dengan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top