sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Tidak menyangka, sedih dan kecewa antara ungkapan rata-rata penyokong setia Sri Pahang FC selepas tersebar berita skuad Pantai Timur itu tidak mampu meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Mereka seolah tidak mampu menerima kenyataan pasukan berkenaan kecundang di tengah jalan dengan alasan masalah kewangan yang serius.
Peminat, Abdul Razak Ali berkata, Sri Pahang yang sebelum ini mencatat pelbagai kejayaan dilihat terlalu mudah dihimpit masalah kewangan hingga akhirnya terpaksa menyerah kalah.
Menurutnya, sebagai peminat setia pasukan Tok Gajah dia amat sedih sekiranya berita penarikan diri Sri Pahang daripada menyertai Liga M musim depan menjadi kenyataan.
“Saya tidak boleh menerima keputusan itu yang dianggap begitu mengecewakan bukan sahaja pada dirinya tetapi juga rakyat Pahang. Terlalu berat apa yang berlaku dan mungkin menjadi sejarah hitam dalam kancah bola sepak negara.
“Dalam kerancakan saingan Liga M tersebar cerita yang menyediakan, final Piala Malaysia 2024/2025 membabitkan Sri Pahang sudah tidak bermakna lagi buat peminat Tok Gajah,” katanya, di sini hari ini.
Dia yang sebelum ini sentiasa ke stadium menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Tok Gajah berkata, menjadi kerugian besar sekiranya Sri Pahang tidak dapat bersaing dalam Liga M musim depan.
Tambahnya, sekiranya episod sedih itu menjadi kenyataan biarlah Sri Pahang sahaja dibubarkan, ganti dengan pasukan baharu yang dipimpin oleh pengurusan baharu yang lebih baik dan cekap.
Bagi, Mohd Imran Hafiz, sebagai peminat nombor satu pasukan Tok Gajah dia begitu kecewa sekiranya benar berita Sri Pahang tidak mampu meneruskan saingan Liga M musim depan.
Katanya, untuk membantu pasukan Tok Gajah mungkin ada pihak yang boleh membantu dari segi kewangan, perbelanjaan melebihi sumber kewangan yang ada faktor utama apa yang terjadi ini.
“Selain itu peminat Tok Gajah juga boleh menubuhkan tabung bagi membantu pasukan, masing-masing boleh menderma seikhlas hati. Ahli korporat yang ada di Pahang turut sama membantu.
“Semua pihak perlu berganding bahu memikirkan kaedah terbaik untuk membela nasib pasukan Sri Pahang yang akan beraksi di pentas akhir Piala Malaysia bulan depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd