Perdana Menteri kunjungi Bazar Ramadan Rahmah Kamunting

Perdana Menteri kunjungi Bazar Ramadan Rahmah Kamunting

TAIPING: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa untuk melawat Bazar Ramadan Rahmah Kamunting di sini untuk meninjau dan beramah mesra dengan pengunjung bazar.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 6 petang, diiringi oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta pemimpin setempat serta ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk melawat bazar yang mempunyai 172 gerai peniaga.

Beliau malah sempat membeli beberapa juadah makanan yang dijual oleh peniaga di situ antaranya crepe daging rusa, ayam goreng dan burger serta nasi dagang.

Rata-rata peniaga yang ditemui gembira dengan kehadiran Perdana Menteri yang sempat berbual dan berseloroh dengan beberapa peniaga.

“Perdana Menteri bertanyakan kepada saya dari mana saya dapat daging rusa. Saya kata ini daging rusa Perak,” kata seorang peniaga crepe daging rusa ketika ditemui selepas Anwar melawat dan membeli makanan di kedainya.

Perdana Menteri menghabiskan masa kira-kira 20 minit di bazar tersebut yang dipenuhi hampir 1,000 orang sebelum bergerak ke Sekolah Kebangsaan Dato Alauddin, Selinsing untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak. – UTUSAN

 

Scroll to Top